Legenda Denmark dan Manchester United, Peter Schmeichel mempersoalkan tindakan pengurus Arsenal, Mikel Arteta dalam usahanya untuk membawa masuk David Raya ke dalam pasukan.

Sebaik sahaja melepaskan Matt Turner ke Nottingham Forest, Arteta kini serius untuk membawa masuk penjaga gol utama Brentford itu bagi mewujudkan persaingan sihat bersama Aaron Ramsdale.

Bagaimanapun, usaha untuk membawa masuk David Raya ke Arsenal disifatkan oleh Schmeichel akan membawa kepada keadaan yang mana akan mewujudkan keadaan tidak harmoni di bilik persalinan.

Malah menurut sumber laporan Metro UK, beliau turut melihat perkara tersebut dapat merosakkan perkembangan karier Ramsdale yang ketika ini cemerlang dalam mengemudi gawang Arsenal.

“Saya benar-benar tidak memahami perkara ini [merujuk kepada usaha Arteta mahu mendapatkan David Raya].”

“Saya tak faham bagaimana seorang pengurus bola sampai ke tahap kesimpulan bahawa perkara yang baik adalah dengan mempunyai persaingan untuk posisi penjaga gol.”

“Posisi penjaga gol itu sangat reaktif. Anda tidak boleh membuat apa-apa pun berdasarkan versi sendiri. Anda perlu menanti untuk berbagai hal yang akan terjadi.”

“Pada ketika ini anda meminta supaya penjaga gol anda membuktikan bahawa dia adalah lebih baik daripada yang lain. Ini memberikan erti dia perlu pergi dan melakukannya dan anda [pengurus] tidak mahu ia berlaku.”

“Ia adalah satu-satunya kedudukan di atas padang yang anda mahukan stabil.”

“Apabila anda sudah mempunyai persaingan, dia juga akan bermain untuk dirinya dan posisi itu. Saya benar-benar tidak memahaminya.”

“Apa yang Arteta lakukan adalah akan membuatkan rasa tidak senang buat mereka berdua [Ramdsale dan Raya,” tambah beliau lagi.

 

Sumber